Nikmat cinta



EKSPRESI cinta membuatkan ramai insan berasa begitu bahagia dan dihargai kerana ada seseorang yang sentiasa berdiri di belakang di kala semangat hidup semakin patah.


Bahkan cinta juga memberi kekuatan untuk meneruskan perjalanan yang selama ini bagaikan sudah kabur dan tiada arah tujuan.

Namun, apabila lima perkataan itu - cinta - semakin pudar dek banyak halangan dan onak, anda terpaksa melupakannya. Rasa pedih dan patah hati apabila diri dikecewakan adalah ketentuan yang perlu ditempuhi.

Biarpun terpaksa melupakannya untuk seketika atau selamanya, harus diingat itu semua bukan kehendak anda.
Mula-mula memang agak sukar untuk menerima kenyataan menempuh kekecewaan tetapi lama kelamaan, ia pasti boleh dihadapi.
Tidak dinafikan hidup ini sunyi tanpa cinta tetapi kena ingat, semuanya datang daripada-Nya.

Takdir mengatasi segalanya dan kekuatan diri harus dibina untuk mampu berdiri dan terus melangkah bagi membina cinta, seterusnya yang lebih teguh sehingga bahagia selamanya.

1. Latih minda melupakan kenangan pahit

Bunyinya senang namun bagi yang menanggungnya, ia perlu dilakukan secara berterusan. Mengaku saja anda sering berasa sedih sebab banyak kali mengingat kenangan pahit atau selalu kembali ke memori silam yang sering melukakan.

Untuk itu, anda harus mengatakan pada diri 'berhenti' mengingati kenangan melukakan itu terutama ia memberi kesan emosi yang mendalam dalam kehidupan kini.

Mulai hari ini, tekad untuk melupakan semua itu sehingga membiarkan minda menjadi kosong. Tekadkan azam untuk memfokus kepada masa depan, cita-cita, keluarga, kerjaya, kewangan, keilmuan dan rakan.

Anda tidak akan dapat melupakan semua memori pahit sekali gus tetapi lakukan perlahan-lahan dengan mengalihkan perhatian kepada perkara lain. Proses ini mengambil masa tetapi tidak mustahil dengan disiplin diri yang kuat, segalanya akan berubah.

2. Buang sikap risau

Ada dua kesan daripada sikap risau. Pertama, ia menarik nasib tidak baik, masalah dan musibah tanpa anda pinta.

Kedua, ia memberi kesan buruk pada kesihatan sama ada dari segi fizikal atau mental. Risau membuatkan diri selalu sedih dan kecewa, kadang-kadang takut. Untuk membuang sikap itu, belajar untuk bertenang dan latih diri anda mengawal keadaan.

3. Belajar bersyukur

Ucap syukur atas semua yang ada, apa saja! Misalnya, ucap syukur kerana anda masih ada lima deria yang lengkap, boleh melihat dan menarik nafas setiap kali bangun tidur. Syukur kerana ada kawan rapat yang memahami dan mempunyai telefon bimbit kesayangan.

Ucap syukur sebanyak mungkin dan seikhlas hati hingga rasa syukur itu meresap jauh ke dalam diri. Buat banyak kali dalam sehari.

4. Belajar jadi pemaaf

Sikap pemaaf dapat membersihkan hati daripada perasaan dan emosi negatif (takut, sedih, kecewa, gusar, menyampah, marah, geram, cemburu, tidak puas hati, dendam atau busuk hati). Seterusnya, neutralkan gelombang fikiran negatif yang melekat bersarang di minda anda.

Anda sebenarnya selalu sedih dan kecewa kerana tidak memaafkan kesalahan diri anda pada masa lalu ataupun tidak memaafkan kesalahan orang lain terhadap diri anda suatu ketika dulu.

Mungkin juga anda susah menerima hakikat perbuatan salah orang lain yang membuatkan sering dibuai kesedihan, kekecewaan dan lara berpanjangan. Belajarlah menjadi pemaaf dan menghapuskan semua ini lalu menarik ketenangan datang pada diri anda.

5. Ketawa, ketawa dan terus ketawa

Ketawa bukan dibuat-buat, tapi biar ketawa yang benar-benar menggembirakan dan menjadikan anda girang. Tonton video lucu, baca cerita lucu, dekatkan diri dengan rakan yang lucu serta cari sudut melucukan dalam setiap situasi agar anda boleh ketawa secara automatik.

Ketawa dapat menghilangkan sedih. Mengapa melayan kecewa sedangkan anda boleh ketawa?

6. Ubah fikiran

Kita tidak boleh mengubah situasi yang boleh membuat diri kecewa, sedih dan murung. Tetapi, anda boleh mengubah fikiran dan apa yang anda fikirkan mengenai situasi itu walau seburuk manapun ia.

Rahsianya, cari sinar mentari di sebalik mendungnya awan. Walaupun ia tidak berpihak kepada anda, cari cara untuk menemui nilai positif di dalamnya.

Fikir yang baik-baik saja kerana ia memberi keuntungan jangka panjang. Rezeki anda murah dan segala yang baik-baik datang sendiri pada anda. Anda menjadi apa yang anda mahukan.

Mengapa fikir perkara buruk sedangkan anda boleh menarik semua yang baik-baik? Fikir yang buruk, anda dapat yang buruk. Ini hukum alam yang dinamakan hukum 'sebab dan akibat'.

7. Hati mesti 'keras'

Bukan keras sebarangan, maksudnya kekerasan hati, kesabaran tinggi, pandai mengawal emosi dan menerima hakikat dengan hati terbuka.

Allah menurunkan musibah dan permasalahan bukan sekadar dugaan tetapi balasan pada perbuatan anda pada masa lalu.

Sebelum tidur, tetapkan minda untuk jadi ceria pada keesokan harinya. Lafazkan dengan nada berbisik. Relaks, jangan terlalu mendesak diri. Selepas bangun tidur, katakan pada diri, ini adalah hari yang baru untuk anda.

Tekadkan diri untuk menjadikan hari yang baru itu hari yang baik, sungguh baik serta sebaik yang mungkin daripada hari sebelumnya.

Read More..
Posted on 6:34 PM by peguamuda and filed under | 0 Comments »

Kedudukan Wanita Dalam Islam


Firman Allah S.W.T dalam Surah An-Nisa' ayat 34 yang bermaksud:

"Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu, maka wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri"..


Ayat di atas menerangkan mengenai kedudukan wanita di dalam Islam. Islam mengambil berat dan memandang tinggi terhadap wanita. Malah, Al-Quran sendiri menamakan salah satu dari surah-surahnya dalam Al-Quran dengan nama surah An-Nisa' yang membawa maksud wanita. Begitu juga terdapat di dalam kitab-kitab hadis yang membincangkan mengenai nasihat supaya berbuat baik terhadap wanita sebagaimana yang terdapat dalam kitab Riyadhussolihin karangan Imam An-Nawawi.

Sejarah merekodkan bahawa kemunculan Islam telah menghapuskan sama sekali amalan menghina dan membunuh wanita sebagaimana yang berlaku dalam masyarakat jahiliyyah. Hadis nabi juga menyebutkan mengenai ganjaran pahala bagi sesiapa uang diuji dalam memelihara anak perempuan bahawa orang itu akan bersama dengan nabi di akhirat kelak. Kesemuanya ini membuktikan pandangan Islam yang tinggi terhadap kaum wanita. Peraturan dan tuntutan yang digariskan oleh Islam ialah bertujuan untuk memelihara martabat dan keselamatan wanita.

Menyedari peranan wanita dalam pembinaan pembangunan umat Islam itu sangat penting, musuh-musuh Islam sejak dahulu lagi berusaha untuk merosakkan wanita dengan pelbagai cara dan strategi. Atas nama kebebasan, mereka berusaha meracuni pemikiran wanita Islam dengan pelbagai tipu daya dan godaan supaya mereka jauh dari landasan Islam yang sebenar. Sedangkan Islam meletakkan wanita dalam kedudukan yang tinggi dan mulia berbanding agama yang lain. Beberapa peraturan dan tuntutan yang berkaitan dengan wanita Islam adalah semata-mata untuk menjaga maruah dan kemuliaan mereka. Wanita mempunyai hak dan harus dilayan sesuai dengan fitrah dan kejadian mereka. Layanan istimewa ini bukan sahaja terhadap wanita Islam malah terhadap wanita bukan Islam.

Islam adalah sebuah agama yang memberi perhatian terhadap wanita sejak dari kecil sehingga memasuki alam rumahtangga, kewajipan dan tanggungjawab suami terhadap mereka sehinggalah hak mereka dalam mewarisi harta pusaka. Selain itu, terdapat beberapa peraturan dan tuntutan kepada wanita Islam untuk dipatuhi demi memelihara maruah, kemuliaan dan keselamatan diri mereka. Antaranya adalah seperti berikut:

1. Wanita Islam hendaklah memelihara pandangan, kemaluan dan tidak menampakkan perhiasan mereka melainkan yang diharuskan sahaja. Ini telah ditegaskan oleh firman Allah dalam surah An-Nur ayat 31 yang bermaksud:

"Katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang biasa nampak daripadanya".

Justeru, bapa atau pun suami hendaklah memastikan perkara seperti ini difahami dan dipatuhi oleh ahli keluarga kita yang perempuan.

2. Tempat yang paling baik bagi wanita adalah di rumah sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah Al-Ahzab ayat 33 yang bermaksud:

"Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyyah yang dahulu".

Namun, Islam sama sekali tidak menghalang wanita untuk bekerja mencari rezeki, memberi sumbangan tenaga dalam aktiviti kemasyarakatan, menjadi pemimpin dan seumpamanya selagi menjaga batasan dan sempadan yang ditetapkan oleh Islam. Islam juga melarang wanita berhias secara keterlaluan seperti amalan wanita zaman jahiliyyah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh An-Nasaei, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

"Mana-mana wanita yang memakai minyak wangi, kemudian lalu dihadapan satu kumpulan (manusia) untuk menarik perhatian mereka, maka dia boleh mendorong kepada perlakuan zina".

3. Islam meletakkan peraturan dan tuntutan tertentu bagi menjaga hubungan antara lelaki dan wanita. Antara peraturan yang ditetapkan oleh Islam adalah larangan berdua-duaan antara seorang lelaki dan wanita yang bukan mahram atau suami isteri sehingga boleh mengundang fitnah atau membawa kepada penzinaan. Sabda Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

"Tidak boleh seseorang lelaki dengan seorang wanita bersunyian melainkan dengan mahram".

4. Larangan musafir seorang wanita melainkan dengan mahram. Tuntutan ini juga bukan untuk mengongkong atau menyusahkan kehidupan wanita, tetapi dengan tujuan untuk menjaga dan memelihara mereka dari sebarang gangguan daripada pihak yang ingin mengambil kesempatan ke atas mereka dan menjauhkan mereka daripada terjerumus ke lembah kesesatan dan kemaksiatan.

Dari sudut hubungan kekeluargaan dan rumahtangga, Islam meletakkan beberapa tanggungjawab yang terletak dibahu para suami demi menjaga kemuliaan wanita, antaranya;

  1. berbuat baik terhadap wanita
  2. melarang mendera kaum wanita
  3. melayani wanita dengan cara yang terbaik

Oleh itu, marilah kita berusaha membetulkan kepincangan yang berlaku dalam masyarakat kita dengan kembali kepada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah. Sedarilah bahawa, wanita merupakan ujian paling besar bagi kaum lelaki. Justeru, kita dituntut menjaga, memelihara, dan menjauhkan mereka daripada sebarang perkara yang boleh merosakkan mereka. Ketinggian dan kemuliaan wanita yang digariskan oleh Islam terletak di tangan kita semua. Firman Allah dalam surah Ar-Ruum ayat 21 yang bermaksud:

"Dan diantara tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan dan rahmatNYa) bahawa Dia yang menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu hidup bahagia dengannya dan dijadikanNya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan kasihan belas. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir".

Wallahua'lam



Read More..
Posted on 10:19 AM by peguamuda and filed under | 2 Comments »

Assalamualaikum...

Selamat Datang ke laman blog saya... this is my first writing n my first experience in blogging... Semoga dapat kita berkongsi idea-idea yang bernas untuk faedah kita bersama...

Read More..
Posted on 10:10 AM by peguamuda and filed under | 0 Comments »