TIPS MEMBELI KERETA TERPAKAI


BADAN kereta yang cantik dan cat berkilat tidak semestinya kereta terpakai yang ingin anda beli itu dalam keadaan baik terutama bahagian enjin.

Langkah pertama buka penutup depan untuk melihat enjinnya. Enjin kereta itu sepatutnya bersih, tetapi tidak semestinya sampai berkilat.

Kemudian duduk di tempat duduk kereta itu dan cuba rasakan keselesaannya. Kereta yang anda pilih mestilah sesuai dan selesa untuk anda. Steringnya mestilah hanya dapat digerakkan dalam jarak dua inci pada keadaan biasa dan tidak ada sebarang bunyi apabila memusingkannya.

Periksa penyelaras tempat duduk, kunci pintu, penaik cermin tingkap, hon, lampu, lampu isyarat, radio dan semua kelengkapan yang ada. Sesetengahnya mungkin tidak penting, tetapi ia mungkin dapat menunjukkan kepada anda bagaimana kereta itu dijaga.
? SELEPAS itu hidupkan enjin. Ia sepatutnya hidup dengan cepat dan kemudian beransur-ansur perlahan. Biarkan selama satu atau dua saat sebelum anda menekan pedal minyak. Lihat asap yang keluar di belakang. Asap biru bermakna enjin dioverhaul sepenuhnya. Jika asap hitam bermakna karburatornya tidak sesuai.

Asap putih tidak menandakan kecacatan apa-apa jika enjin dalam keadaan sejuk, tetapi jika enjin telah panas ini bermakna kepala gasket bocor. Ini memerlukan perbelanjaan yang besar. Oleh itu jangan beli kereta itu. Enjin yang kuat bergegar juga menunjukkan kereta itu tidak begitu baik untuk dibeli. Setelah enjin dipanaskan, matikan sekejap dan cuba anda sapu jari anda ke dalam ekzos (pastikan ekzos itu tidak panas). Keladaknya sepatutnya berwarna kelabu keputih-putihan. Jika ia berwarna hitam atau berminyak, ketepikan saja kereta itu.

Hidupkan enjin semula dan periksa minyak di dalam transmision automatik. Ia mestilah bersih tanpa ada bau terbakar.
? JURUJUAL mungkin cuba meyakinkan anda bahawa membuat uji pandu dalam jarak yang dekat seperti di sekitar sebuah bangunan sudah memadai. Ini tidak benar. Nyatakan kepadanya anda mahu membuat ujian jalan raya terhadap kereta itu. Jika jurujual itu tidak begitu berminat. Cari saja kereta di tempat lain.

Jalan yang anda rancang untuk dilalui mestilah termasuk jalan kering, jalan yang lengang, jalan berbukit, jalan tidak rata dan ruang letak kereta yang kosong. Semua meter pengukur mestilah berfungsi dengan baik terutama meter tekanan minyak dan suhu enjin. Jika tidak jangan beli kereta itu.

Pandulah ke jalan raya yang lengang dan tingkatkan kelajuan hingga 56 kmj, tranmision automatiknya mestilah bertukar tanpa sebarang bunyi atau tersentak-sentak. Jika kereta itu mempunyai sistem penukaran tangan, ia sepatutnya tidak melekat-lekat atau berkertak.

Perlahankan kereta itu hingga 10 kmj dengan mengenakan brek secara perlahan-lahan. Pastikan tidak ada sebarang bunyi. Kereta itu juga mestilah menjadi perlahan dalam keadaan lurus, tanpa terpusing ke kanan atau ke kiri.
? TINGKATKAN kelajuan hingga 25 - 30 kmj kemudian tekan brek secara mengejut (pastikan tiada kereta lain dibelakang anda). Kereta itu mestilah berhenti dengan cepat tanpa terpusing. Di dalam ruang letak kereta yang kosong dan rata, tekan brek hingga kereta itu betul-betul berhenti.

Tukar kepada gear undur dan undur pada kelajuan 6 kmj. Kemudian tekan brek hingga berhenti, tukar kepada gear depan dan seterusnya. Lakukan ini empat atau lima kali untuk menguji transmision. Semua penukaran mestilah lancar tanpa ada sebarang bunyi.

Pandu dalam corak nombor 8 untuk menguji tindak balas stering. Jika stering agak liat, ia mungkin berpunca daripada linkage atau sistem gantungan depan. Jangan beli kereta itu kecuali anda diberi jaminan bahawa masalah itu akan dibaiki.

Masih di dalam ruang letak kereta yang kosong. Tingkatkan kelajuan hingga kira-kira 30kmj dan lepaskan tangan dari stering selama beberapa saat. Kereta itu mestilah bergerak lurus dan tidak terbabas. Kemudian tekan brek perlahan-lahan tanpa memegang stering. Kereta itu juga mesti berhenti dalam keadaan lurus. Jika ia terpusing, nyatalah kereta ini ada masalah. Pastikan anda diberi jaminan bahawa masalah itu akan dibaiki.
? KEMUDIAN pandu kereta itu di jalan tidak rata yang anda pilih. Jangan beli kereta yang terlalu kuat bergegar atau melambung-lambung. Kereta itu mungkin mempunyai penyerap hentak spring atau bahagian-bahagian sistem gantungan yang rosak.

Ketika mendaki bukit. Tingkatkan kelajuan sehingga kira-kira 60 kmj. Kereta itu mestilah tidak tersangkut-sangkut. Jika hal ini berlaku, ini bermakna kereta itu mempunyai transmission yang rosak. Turun hingga ke pertengahan bukit, tukar kepada gear bebas dan pasang brek tangan. Kereta mestilah tetap apabila anda melepaskan kaki anda daripada pedal brek.

Setelah itu balik ke jalan raya biasa, hentikan kereta anda perhatikan ke belakang sebelum meneruskan perjalanan semula dan tingkatkan kelajuan hingga kira-kira 80kmj. Peningkatan kelajuan mestilah lancar dan pastikan tiada asap keluar di belakang dan tidak ada sebarang bunyi yang menunjukkan enjin tidak begitu baik. Jika pecutan (peningkatan kelajuan) mengambil masa lebih 15 saat, ini bermakna enjin tidak begitu baik dan mungkin memerlukan pembaikan dengan perbelanjaan yang mahal.
? KEMBALI semula ke ruang letak kereta. Setelah memasuki ruang letak kereta, biarkan enjin selama beberapa minit. Kemudian perhatikan ke bawah kereta sama ada terdapat titisan minyak atau tidak. Angkat penutup enjin dan periksa enjin sekali lagi untuk melihat sebarang kebocoran. Suruh jurujual memandu kereta tersebut melintasi ruang-ruang itu dan kemudian berpatah balik ke arah anda. Perhatikan sebarang keganjilan yang kelihatan pada kereta itu, sama ada bunyinya atau kawalannya.

Ada baiknya anda membawa kereta itu kepada seorang mekanik. Bawalah kereta itu ke stesen servis. Mekanik itu mungkin dapat meneliti beberapa kerosakan yang anda sendiri tidak nampak serta memastikan sama ada kerosakan yang anda kesan itu benar-benar serius atau tidak.

Mereka juga boleh membuat ujian tekanan terhadap enjin untuk memeriksa ring atau injap. Sebelum anda membuat pilihan periksa dulu geran kereta itu atau dokumen-dokumen lain. Nombor enjin dan lain-lain mestilah betul. Jangan sampai anda terbeli kereta curi.

Petikan daripada Berita Minggu
2 Oktober 2005

Read More..
Posted on 2:36 AM by peguamuda and filed under | 0 Comments »

SEJARAH PALESTIN & ISRAEL


Bagi kedua-dua pihak Islam dan Yahudi, tanah yang didiami oleh Palestin dan Israel sekarang merupakan tanah yang istimewa, yang telah ditentukan oleh Allah sejak ribuan tahun lampau.

Bagi umat Islam, di tanah inilah terbinanya Masjidil Aqsa, iaitu masjid ketiga paling mulia di dunia ini, setelah Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Bagi penganut Yahudi pula, tanah tersebut merupakan “Tanah Yang Dijanjikan Tuhan” kepada mereka. Di situlah nenek moyang mereka berasal (Bani Israel), dan di situlah kampung halaman mereka. Mereka percaya, di tanah itulah terletaknya Bukit Zion, dan situlah tertanamnya Temple of Solomon, iaitu kuil suci mereka.

Atas kedua-dua sebab inilah, tanah tersebut menjadi rebutan antara Muslim dan Yahudi sejak dari dahulu, hinggalah membawa kepada pertumpahan darah sekarang.

Bagaimana dengan Kristian pula? Kristian juga, menganggap tanah tersebut sebagai tanah suci. Di Temple of Nazareth, yang terletak di tanah tersebut, merupakan tempat kelahiran Nabi Isa. Di tanah itulah Nabi Isa menyampaikan ajarannya, dan di tanah itu jugalah Nabi Isa disalib.
Sejarah Awal

Sebenarnya sejarah bani Israel wujud sedari zaman Nabi Ibrahim lagi. Namun, kita susuri sedari kependudukan Bani Israel itu di Mesir, sepertimana yang diutuskan Nabi Musa a.s kepada mereka. Kita tahu melalui alQuran, bahawa Firaun dan tenteranya mengejar Nabi Musa dan kaumnya sehingga ke Laut Merah, di mana ketika itu Nabi Musa menggunakan mukjizatnya membelah dan menyeberangi lautan tersebut.

Setelah itulah Nabi Musa dan kaumnya Bani Israel mendiami tanah Palestin tersebut. Kita boleh baca sendiri dalam alQuran, betapa kaum ini semakin lama semakin “besar kepala”, meminta yang pelbagai dari Nabi Musa dan sebagainya. Kita juga boleh lihat kisah Talut dan Jalut yang berlaku setelah kewafatan Nabi Musa, sebagaimana yang diceritakan di dalam alQuran di surah alBaqarah.

Setelah Talut menawan kembali tanah palestin tersebut dari kekuasaan Jalut, tampuk pemerintahan Palestin disambung pula oleh Nabi Daud. Seterusnya disambung oleh Nabi Sulaiman, dengan bala tenteranya dan kegemilangan kerajaannya (termasuk haiwan, jin dan angin). Palestin dimiliki oleh Bani Israel, sehinggalah lebih kurang 60 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa. Pada tempoh ini, kerajaan Rom menekan kependudukan Bani Israel di tanah Palestin tersebut, sehinggalah akhirnya tanah Palestin dijarah oleh tentera Rom dan kaum Bani Israel diusir keluar lalu. Lalu tersebarlah kaum Bani Israel, atau dikenali sekarang sebagai Yahudi, ke serata dunia.

Sejak dari itu, tanah Palestin menjadi milik kerajaan Rom. Sehinggalah setelah kelahiran Nabi Isa, seterusnya kewujudan agama Kristian. Lebih kurang pada tahun 300 Masihi, kerajaan Rom di bawah pemerintahan Raja Constantine yang menjadikan Constantinople sebagai pusat pemerintahan, mengalami Kristianisasi. Sejak dari tempoh tersebut, kerajaan Rom menguasai Palestin.

Palestin kekal di bawah milik kerajaan Rom sehinggalah kelahiran Nabi kita Muhammad s.a.w. Setelah Rasulullah berjaya menubuhkan Empayar Islam, beliau wafat pada 632 Masihi. Seterusnya empayar Islam semakin berkembang, dan Palestin berjaya ditawan dari kerajaan Rom pada tahun 638 Masihi. Maka sedari itulah Palestin menjadi milik Islam, sebagai tanah suci yang ketiga selepas Makkah dan Madinah.

Sepanjang dari tempoh tersebut, kerajaan Rom yang telah menjalani Kristianisasi, mengalami pelbagai perubahan dari sudut struktur pemerintahan. Bangsa-bangsa asal Eropah seperti Vikings, Magyar dan sebagainya dikristiankan, dan pemerintahan dikuasai oleh golongan Church.

Sejak dari 1000 Masihi, tentera Kristian telah melakukan pelbagai usaha menawan kembali Palestin. Pada tahun 1063, Pope Alexander II memberikan “fatwa” mengerahkan penganut Kristian untuk berjuang mendapatkan kembali Palestin, dan barangsiapa yang berjuang diberikan status kemuliaan dan pengampunan tertinggi. Itulah yang dikenali sebagai Perang Salib (Crusades)

Akhirnya pada tahun 1099, tentera Salib berjaya menawan Palestin, dan menguasai tanah suci tersebut selama hampir 200 tahun.
Menawan Semula

Setelah Palestin ditawan, kerajaan Islam yang sedia ada konflik dalaman pada ketika itu, semakin hilang semangat. Keadaan berlanjutan sehinggalah lahirnya seorang pemimpin agung, yang dikenali sebagai Salahuddin Al Ayyubi. Salahuddin Al Ayyubi, menyatukan masyarakat Arab yang ketika itu berpecah belah akibat perbezaan mazhab dan aliran, seterusnya membawa tentera Islam menyerang kembali Palestin. Akhirnya, pada sekitar tahun 1187, ibunegara Palestin berjaya ditawan, dan pada tahun 1291 kubu terakhir tentera Salib di tanah suci tersebut berjaya dimusnahkan.

Sejak itulah tanah suci Palestin kekal di bawah pemerintahan Islam dengan aman damai. Malahan, penduduk asal Palestin iaitu Yahudi/Bani Israel dibenarkan pulang ke kampung halaman mereka, walaupun masih ramai yang bermastautin di luar. Kerajaan Islam berkembang meluas, hinggalah masuk ke era pemerintahan Turki Uthmaniyyah.

Zaman Turki Uthmaniyyah mengalami kejatuhan sejak dari abad ke-19 lagi. Proses modenisasi semakin berlaku, dan kebergantungan terhadap kuasa barat semakin wujud. Krisis-krisis dan konflik dalaman melemahkan lagi kekuasaan empayar Turki Uthmaniyyah. Khalifah pada masa tersebut hanyalah pada namaEmpayar Islam semakin lemah, di bawah kekuasaan barat seperti Britain dan Perancis.
Perang Dunia Pertama

Akhirnya, pada tahun 1914, tercetusnya perang dunia pertama. Perang dunia pertama terdiri daripada 2 kuasa besar, iaitu Pakatan Bertiga Britain-Perancis-Russia menentang Pakatan Pusat iaitu Jerman dan Austria/Hungary. Setelah perang berterusan, negara-negara lain seperti Amerika Syarikat dan Italy menyertai Pakatan Bertiga, manakala Kerajaan Turki Uthmaniyah pula menyertai Pakatan Pusat.

Berada di bawah Pakatan Pusat, kerajaan Turki Uthmaniyyah diserang hebat oleh Pakatan Bertiga Britain-Perancis-Russia. Kerajaan Islam Timur diserang dan ditawan oleh Britain. Kerajaan Islam Barat yang menjangkaui sehingga ke Algeria, Sudan dan negara-negara utara Afrika, dikuasai oleh Perancis. Kerajaan Islam juga diserang dari utara, oleh Russia, menyaksikan Russia menawan kawasan utara kerajaan Islam.

Perlu diberi perhatian, pada ketika ini, masih belum wujud negara bangsa, kerajaan Islam adalah disatukan di bawah satu pemerintahan khalifah, manakala setiap kawasan pula ditadbir oleh gabenor masing-masing.
Perpecahan Negara Arab

Pada ketika tempoh inilah, kerajaan Turki Uthmaniyyah mengalami konflik yang semakin hebat. Britain melalui perisiknya yang dikenali sebagai Lawrence of Arabia, menyuburkan semangat nasionalisma di negara-negara Arab. Pejuang kebangsaan/nasionalisma Arab pula menyerang kerajaan Turki Uthmaniyyah. Pemerintah Arab ketika itu, Emir Faisal 1, berpaling tadah dan memihak kepada Britain. Sejak dari itulah kerajaan Arab menjadi tali barut Britain.

Pada tahun 1915, Britain mula menduduki kawasan Iraq. Akhirnya pada 1917, Britain menduduki semula kawasan Palestin. Tentera Britain, diketuai General Allenby, memasuki Palestin pada 9 Disember 1917 lalu memberi ucapan - “hari ini, perang salib sudah berakhir”.

Pada 1917, Britain mengisytiharkan Deklarasi Balfour, iaitu perjanjian antara kerajaan Britain dengan ketua persatuan Yahudi Britain ketika itu, yang mana antaranya menjanjikan tanah Palestin kepada Yahudi. Penempatan Yahudi di Palestin meningkat, dari 50,000 sebelum itu kepada mencecah setengah juta, manakalan penduduk Islam Palestin ketika itu hampir mencecah 1.4 juta.

Wakil dari Yahudi ketika deklarasi tersebut, merupakan seorang Yahudi bernama Chaim Weizzmann. Weizzman juga merupakan seorang saintis, malahan saintis pertama yang menghasilkan bahan kimia acetone, seterusnya acetone digunakan sebagai cordite, iaitu sejenis bahan letupan yang menyumbang besar kepada kejayaan Britain dalam perang tersebut. Weizzman mendesak setiausaha luar Britain ketika itu, Arthur Balfour, supaya diadakan Deklarasi tersebut. Kerana terhutang budi ke atas sumbangan Weizzman, kerajaan Britain bersetuju. Pada mulanya, Britain menawarkan tanah di Uganda kepada Weizmann, namun Weizmann menolak dan mahukan Palestin. Dikatakan, Weizmann bertanya kepada Balfour,

“Encik Balfour, katakanlah saya menawarkan Paris dan London kepada encik, yang mana satukah yang encik mahukan?”

“Tetapi, kami sememangnya sudah memiliki London!”

“Betul itu, tetapi ketika London masih lagi sebuah kawasan paya, kami telahpun memiliki tanah Palestin!”

Akhirnya, British membenarkan kaum Yahudi berhijrah ke tanah Palestin.

Pada tahun 1919, Emir Faisal I ketika itu pula menandatangani perjanjian antara beliau dengan Chaim Weizzmann, menyatakan sokongan sepenuhnya beliau dan kerajaan Arab kepada Deklarasi Balfour.

Akhirnya pada tahun 1919, berakhirnya Perang Dunia Pertama. Kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah menerima tamparan hebat setelah kehilangan kawasan-kawasannya yang luas, termasuklah Palestin. British dan Perancis mula menjalankan kolonisasi di tanah-tanah jajahannya. Dari situ wujudlah negara bangsa, apabila sempadan-sempadan digariskan memisahkan sempadan agama.
Kejatuhan Turki Uthmaniyyah.

Pada tahun 1918, tentera kolonial Britain menduduki pusat pemerintahan Turki Uthmaniyyah, iaitu Istanbul. Pada tahun 1922, setelah tamat Perang Dunia Pertama, sebuah Persidangan Lausanne diadakan, yang antaranya mempunyai beberapa tuntutan seperti - sistem khalifah ditamatkan, khalifah mestilah dibuang negeri, harta khalifah dirampas, dan kerajaan turki baru akan ditubuhkan atas dasar sekular. Ya, persidangan tersebut menjanjikan kemerdekaan ke atas negara Turki.

Seorang ahli Parlimen Turki pernah bertanya kepada Lord Curzon, ketua perunding pihak pakatan ketika itu - “Kenapa hanya Turki dimerdekakan, sedangkan negara-negara Arab yang lain masih di bawah pemerintahan kolonial?”

Lord Curzon menjawab - “Hakikatnya Turki telah dimusnahkan dan tidak akan bangkit lagi, kerana kita telah menghancurkan kekuatannya - Khalifah dan Islam.

Dalangnya utamanya, Mustafa Kamal Attartuk. Dia mengeluarkan ugutan ke atas kabinet turki ketika itu, lalu merombak parlimen sedia ada yang tidak bersetuju dengan persidangan tersebut. Parlimen kedua yang ditubuhkan juga tidak bersetuju dengan persidangan tersebut. Akhirnya, Mustafa Kamal Attartuk mengadakan konspirasi politik lalu merampas tampuk pemerintahan.

3 Mac 1924, kerajaan khalifah secara rasminya ditamatkan. Pada pagi hari tersebut juga, khalifah terakhir, khalifah Abdul Mejid II, diusir keluar dan dibuang negeri. Mustafa Kamal Attartuk mengambil mengambil takhta, dan proses pengsekularan bermula.
Holocaust

Keadaan berterusan, sehinggalah naiknya seorang pemerintah Jerman ketika itu, iaitu Adolf Hitler. Ketika tercetusnya perang dunia kedua oleh beberapa sebab, Hitler melaksanakan pelan pemusnahan kaum yang dikenali sebagai Action T4. Pelan ini merencanakan pembunuhan euthanasia beramai-ramai keatas golongan tertentu, majoritinya Yahudi.

Setelah tamat Perang Dunia Kedua, dianggarkan seramai hampir 6 juta Yahudi di seluruh Eropah mati dibunuh.

Setelah mengalami kerugian yang besar, Britain berundur dari Palestin dan tanah-tanah jajahannya yang lain pada 1948.
Penglibatan Amerika Syarikat

Amerika Syarikat, selaku kuasa besar dunia setelah Perang Dunia Kedua, memainkan peranan penting dalam penubuhan negara Israel. Pada asalnya, Israel tidaklah wujud sebagai sebuah negara yang hakiki. Setelah holocaust yang dilakukan oleh Hitler tamat, jumlah penduduk Yahudi yang ada adalah sedikit, serta mereka hidup dalam kesusahan dan ketakutan.

Pada ketika itulah, Persatuan Yahudi Amerika mengutuskan tuntutan kepada Presiden US ketika itu, Harry Truman. Pada November 1947, tuntutan tersebut dibawa ke persidangan PBB lalu PBB mendeklarasi pemisahan Palestin. Pada 16 May 1948, kerajaan sementara Israel ditubuhkan di Palestin, dengan sokongan dari PBB. Presiden Harry Truman menyokong sepenuhnya penubuhan Israel, maka wujudlah penempatan Israel di tanah Palestin sehingga kini. Presiden Israel yang pertama - Chaim Weizmann.
Palestin Sekarang

Sejak dari holocaust, ramai Yahudi berhijrah ke Amerika atas dasar terbuka negara tersebut terhadap mereka, serta ramai juga yang pulang ke tanah air di Israel. Yahudi di Amerika diterima dengan tangan terbuka, bantuan dan pekerjaan diberikan kepada mereka atas dasar belas kasihan akibat holocaust tersebut. Dari situlah, Yahudi di Amerika berkembang dan memegang tampuk ekonomi dan pentadbiran Amerika. Amerika, selaku kuasa besar dunia setelah Perang Dunia Kedua, memberikan sokongan tanpa putus-putus kepada negara Israel, yang didirikan di atas tanah Palestin yang dirampas secara haram.

Sehingga kini, Israel terus-terusan menyerang Palestin dalam usaha meluaskan sempadannya. Palestin pula berjihad, dalam usaha menawan kembali Masjidil Aqsa. Sejak kerajaan khalifah Islam tumbang, tiada sesiapa lagi yang mahu menyokong Palestin. Negara-negara Islam yang lain tunduk takut dan akur kepada Amerika. Sampai bila keadaan ini akan berakhir? Hanya 2 - sama ada Palestin akan terus dihapuskan dan Masjidil Aqsa dimusnahkan dalam usaha mereka mencari Temple of Solomon, ataupun tertegaknya kembali kerajaan khalifah Islam menyokong perjuangan Palestin.

Di mana kita? Kita boleh berdiam diri tidak berbuat apa-apa, sekaligus menjadikan kesudahan yang pertama tadi sebagai realiti.

Ataupun, kita boleh berusaha melakukan sedaya upaya menyokong perjuangan Palestin, yang membawa kepada kesudahan yang kedua.

Fikir-fikirkan.

Read More..
Posted on 9:03 PM by peguamuda and filed under | 0 Comments »