Hakim Syarie Tak Terikat Mahkamah Lebih Tinggi

Dipetik daripada Artikel Oleh Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia


DI mahkamah sivil, doktrin duluan mengikat atau lebih terkenal di kalangan peguam sebagai stare decisis adalah suatu kaedah di mana prinsip keputusan sesebuah mahkamah yang lebih tinggi terpaksa diikuti oleh mahkamah bawahan tanpa mengambil kira keputusan betul atau sebaliknya. Doktrin ini bertujuan memastikan keseragaman keputusan mahkamah. Ia juga bagi menjamin mahkamah bawahan mengikuti keputusan mahkamah atasan.



Realitinya memang banyak kes di mana mahkamah bawahan tidak mengikuti prinsip ini secara harfiah dengan memberi pelbagai alasan termasuk membezakan kes mahkamah bawahan itu dengan kes diputuskan mahkamah yang lebih tinggi.

Sebagai seorang dilatih dalam bidang guaman sivil dan syariah, saya berasa terpanggil untuk memberi sedikit pandangan terhadap isu ini dan membuat perbandingan apa yang berlaku di mahkamah syariah untuk tatapan pembaca.

Prinsip stare decisis ini sebenarnya tidak terpakai di mahkamah syariah. Tiada doktrin duluan mengikat yang diamalkan di mahkamah syariah. Namun dalam membuat sebarang keputusan di mahkamah syariah, hakim mahkamah bawahan perlu menghormati prinsip kes diputuskan mahkamah yang lebih tinggi.

Tahap penghormatan ini pula tidaklah sampai mengikat mereka membuat keputusan. Penghakiman mahkamah yang lebih tinggi mempunyai nilai mempengaruhi keputusan mahkamah bawahan saja.

Prinsip asas di mahkamah syariah ialah apabila seseorang hakim itu berijtihad dan ijtihadnya itu betul, maka beliau akan mendapat dua pahala tetapi sekiranya ijtihadnya itu salah beliau masih mendapat pahala. Pahala ini adalah kerana usahanya membuat ijtihad dengan bersungguh. Jadi perkara yang paling penting ialah proses itu sendiri dan bukan hasilnya.

Dalam surat yang ditulis oleh Saidina Umar al Khattab kepada Kadi Kufah iaitu Abu Musa Al asyh'ari yang bermaksud, Dan sesiapa yang mendakwa sesuatu hak yang tidak ada di tempatnya, atau suatu bukti, berilah tempoh kepadanya sampai ia dapat membuktikan dakwaannya. Kemudian kalau dia dapat membuktikan dakwaannya maka berilah haknya itu tetapi kalau dia tidak mampu membuktikannya maka dia berhak dikalahkan kerana yang demikian itu lebih mantap bagi kegagalannya dan lebih menampakkan barang yang tersembunyi.

"Dan jangan sekali-kali menghalang-halangi kepadamu sesuatu keputusan yang telah engkau putuskan pada hari ini, kemudian engkau tinjau kembali lalu engkau memperoleh petunjuk agar engkau kembali kepada kebenaran kerana sesungguhnya kebenaran itu harus didahulukan, tidak dapat dibatalkan oleh apapun sedangkan kembali kepada kebenaran itu lebih baik dari terus berada dalam kebatilan."

Jelas maksud surat itu adalah sesuatu keputusan yang salah boleh dipinggirkan oleh hakim tanpa mengira tahap atau hirarki mahkamah itu sendiri kerana apa yang penting ialah memberi keadilan dalam sesuatu keputusan.

Di sini nampak matlamat kehakiman Islam hanyalah untuk menegakkan keadilan. Keadilan itu bukan hanya dilakukan tetapi hendaklah dilihat juga sebagai sudah dilakukan. Islam mengakui hakikat seorang hakim walau setinggi manapun kedudukannya mungkin akan tersilap dalam penghakimannya. Oleh itu, kepatuhan secara membuta tuli tidak perlu diberikan kepada hakim mahkamah atasan.

Prinsip digariskan dalam surat Saidina Umar ini dipakai mahkamah syariah sejak sekian lama memastikan penggunaannya Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) mengeluarkan arahan amalan diikuti oleh mahkamah syariah iaitu arahan amalan yang menyatakan mahkamah bawahan hendaklah menghormati keputusan mahkamah yang lebih tinggi.

Walaupun tahap pematuhan dikenakan kepada hakim mahkamah bawahan di mahkamah syariah hanya sekadar menghormati saja, kita tidak pernah mendengar mahkamah syariah bawahan menuding jari kepada pihak mahkamah atasan kerana silap. Hal yang sedemikian tidak berlaku di mahkamah sivil walaupun doktrin stare decisis terpakai kepada mereka.

Arahan amalan itu juga menjamin kreativiti kehakiman yang mana hakim mahkamah syariah tidak mengambil jalan mudah dalam menggarap keputusannya dengan hanya berkata beliau terikat dengan keputusan mahkamah yang lebih tinggi. Hakim mahkamah syariah perlu membuat penghakiman yang mana beliau yakin atas keputusannya dan bukan dihadkan oleh mana-mana keputusan lain.

Keputusan mahkamah yang lebih tinggi itu sekadar menjadi panduan dan pedoman kepada hakim mahkamah bawahan untuk membuat keputusan. Apatah lagi pada masa ini, kes di mahkamah syariah mula dilaporkan dengan cara lebih sistematik umpamanya dalam Jurnal Hukum, Syariah Law Report dan Laporan Syariah.

Dengan cara ini hakim mahkamah syariah dapat memperkayakan ilmu mereka dan membuat perbandingan kes dibicarakan di hadapan mereka. Tiada satu kes yang fakta dan persoalannya sama dengan kes lain. Dari sudut itu memang wajar ada sedikit perbezaan antara keputusan mahkamah itu.

Perbezaan itu perlu dilihat dari lensa positif. Ia membuka ruang kepada ijtihad dan mengelakkan ketidakadilan di samping menyesuaikan sesuatu penghakiman itu dengan fakta kes kesesuaian masa dan sebagainya.

Perbezaan pandangan sebenarnya bukanlah kelemahan di kalangan umat Islam. Ia adalah manifestasi keanjalan undang-undang Islam yang boleh disesuaikan mengikut masa dan tempat. Tiada salah kita berbeza pandangan tetapi perbezaan ini mestilah ditangani dengan cara yang penuh hikmah.

Dalam Islam ada adab yang digariskan apabila kita berbeza pandangan. Adab ini atau apa yang dipanggil sebagai adab al ikhtilaf mesti dihayati bagi mengelakkan kita terjerumus ke lembah perpecahan.

Di dalam sistem kehakiman, keadilan adalah elemen yang tidak boleh diketepikan. Namun pendekatan yang diambil dalam mencapai keadilan itu adalah berbeza antara satu sistem dengan sistem yang lain. Ternyata sistem yang ada dirumuskan dalam Islam adalah lebih baik, beradab dan praktikal di dalam mencari jalan penyelesaian ke arah menghadirkan keadilan kepada pihak yang bertikai.

Apatah lagi sistem yang diguna pakai di mahkamah syariah yang lebih bersifat 'inquisitorial' berbanding mahkamah sivil yang mengamalkan sistem 'adversarial'. Oleh itu hakim di mahkamah syariah perlu lebih memainkan peranan dalam prosiding mahkamah berbanding rakan mereka di mahkamah sivil.

Read More..
Posted on 9:44 PM by peguamuda and filed under | 1 Comments »

Pertandingan Mahkamah Mut Syariah Peringkat Kebangsaan 2009


Tarikh:
12-13 Disember 2009

Tempat:
Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia

Anjuran Bersama:

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT)

dengan kerjasama

Majlis Tatatertib dan Disiplin Universiti-universiti Malaysia (MATDUM)

dan

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)


Latar Belakang

USIM sebagai Sekretariat Majlis Tatatertib dan Disiplin Universiti-Universiti Malaysia (MATDUM), telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Pertandingan Mahkamah Mut Syariah Peringkat Kebangsaan (PMMS) yang pertama di Malaysia. Ini adalah julung-julung kalinya pertandingan seumpama ini diadakan melibatkan institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta dari seluruh negara. Penganjuran pertandingan seumpama ini akan memartabatkan undang-undang syariah seterusnya memperlihatkan kepada pelajar dan kepada umum tentang pemakaian undang-undang syariah substantif dan prosedural sesuai dengan amalan undang-undang syariah di negara ini. Bagi mengekalkan mutu pertandingan, soalan mut disediakan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), sebuah badan bebas, berkelayakan dan berautoritatif di dalam amalan perundangan syariah di Malaysia. Langkah ini diambil selaras dengan penyediaan soalan di dalam penganjuran pertandingan mut lain di peringkat Malaysia dan Antarabangsa seperti LAWASIA International Moot (”LAWASIA”) yang disediakan oleh Majlis Peguam Malaysia, International Humanitarian Law Moot Court Competition oleh International Committee of the Red Cross (ICRC) dan The Phillip C. Jessup International Law Moot Court Competition (”Jessup”) oleh International Law Students Association. Pertandingan ini akan dihakimi oleh hakim-hakim syarie, peguam-peguam syarie, ahli-ahli akademik dan tokoh-tokoh penting di dalam amalan perundangan syariah negara.


Objektif

  1. Menjadi sebuah pertandingan mut syariah berprestij pertama di kalangan institusi pengajian tinggi di Malaysia;
  2. Memartabatkan undang-undang syariah di dalam arus perdana melalui pertandingan mut, setara dengan metode dan amalan disiplin pengajian undang-undang sivil di Malaysia;
  3. Melibatkan pelajar-pelajar syariah dan pengajian Islam di dalam penyediaan hujahan bertulis dan penghujahan oral secara profesional;
  4. Mewujudkan persaingan sihat dikalangan peserta, jurulatih, penyelidik mut dan penyokong mut khususnya dan institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia amnya.

Read More..
Posted on 3:21 AM by peguamuda and filed under | 0 Comments »

*** MENYINTAI TIDAK BERMAKNA MEMILIKI ***


Janganlah kau angkuh melaungkan...
Si dia kepunyaanmu...
Atau kau kepunyaan si dia ...
Kerana hakikatnya...
Kita tidak pernah memiliki sesiapa...
Walau sekeping hati seorang insan...
Tidakkah kau sedar...
Hukum alam menyatakan...
Menyintai tidak semestinya memiliki?...

Manusia pandai berpura...
Berlakon di pentas dunia...
Dan bertopeng menutup rahsia..
Tetapi hati...
Tidak pernah berdusta pada empunya...
Tentang perasaan yang bergolak di dalamnya...

Tidakkah kau sedar...
Mungkin si dia melafazkan...
Ungkapan cinta padamu...
Tetapi hati dan perasaannya...
Tidak pernah berniat begitu...
Dia hanya berselindung...
Di sebalik sejuta alasan...

Dan kau...
Begitu jujur dan setia menyintainya..
Sehingga terlupa..
Hukum alam menyatakan..
Menyintai tidak bermakna memiliki..

Sesungguhnya...
"Aku tidak pernah memiliki dirimu..."
"Dan kau jua tidak memiliki diriku."

Mengertilah...
Kita sebenarnya kepunyaan..
Yang Maha Esa...
Tiada sesiapa berhak memiliki diri kita...
Kecuali Dia...
Dia mengasihi hambaNya...
Dia memiliki hambaNya...
Dan ke pangkuan Dia kita akan dikembali......

Wallahu A'lam...

Read More..
Posted on 4:53 AM by peguamuda and filed under | 2 Comments »

Pemergian Yang Pasti...


Semalam baru sahaja aku mendengar berita pemergian seorang pelajar Diploma Undang-Undang ke Rahmatullah dan aku terkejut dengan berita pemergiannya... aku dan sahabat-sahabatku baru sahaja menziarahi beliau beberapa jam sebelum beliau pergi menyambut seruan Ilahi...Semasa menziarahi beliau di hospital, Aku sayu melihat keadaannya terlantar di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) yang dipenuhi dengan wayar-wayar utk bantuan pernafasan...lebih sayu lagi bila melihat ibu bapa beliau yang sedang bersedih kerana puteri mereka sedang bertarung nyawa...Bayangkan, beliau telah kembali ke sisi Allah S.W.T dalam umur yang masih muda, yang mana muda-mudi yang sebaya dengannya sedang menikmati kehidupan muda mereka...Sesungguhnya, kematian tidak mengira umur sesiapa...muda atau tua...kematian itu sesuatu yang pasti sebagaimana Firman-Firman Allah di dalam kitabNya;

"Setiap yang bernyawa akan merasai mati"
(Ali-Imran: 185)

Katakanlah (wahai Muhammad): "Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya) "
(Al-Jumu'ah: 8)

"Supaya Allah mengampunkan bagi kamu sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan memberi kamu hidup (dengan tidak terkena azab) hingga ke suatu masa yang tertentu; (maka segeralah beribadat dan bertaqwa) kerana sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah, apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan; kalaulah kamu mengetahui (hakikat ini tentulah kamu segera beriman)"
(Nuh: 4)

Justeru aku berpesan kepada diriku dan juga kepada semuanya agar jangan kita leka dengan keasyikan dunia... Kita tidak mengetahui bila giliran kita akan pergi menghadapNya...

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan
anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya) . Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: "Wahai Tuhanku! Alangkah
baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh". Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam Pengetahuan- Nya mengenai segala yang kamu kerjakan.

(al-Munaafiquun: 9-11)

Perbanyakkanlah mengingati mati sebagaimana Sabda Rasulullah S.A.W;

"Perbanyakkanlah mengingat pemutus kenikmatan iaitu kematian"
(Hadis riwayat Imam Ibnu Majah)

dan perbanyakkan ibadah kepada Allah S.W.T sebagai bekalan untuk kita kelak...Sama-samalah kita renungi dan hayati...

Read More..
Posted on 6:55 PM by peguamuda and filed under | 1 Comments »

TIPS MEMBELI KERETA TERPAKAI


BADAN kereta yang cantik dan cat berkilat tidak semestinya kereta terpakai yang ingin anda beli itu dalam keadaan baik terutama bahagian enjin.

Langkah pertama buka penutup depan untuk melihat enjinnya. Enjin kereta itu sepatutnya bersih, tetapi tidak semestinya sampai berkilat.

Kemudian duduk di tempat duduk kereta itu dan cuba rasakan keselesaannya. Kereta yang anda pilih mestilah sesuai dan selesa untuk anda. Steringnya mestilah hanya dapat digerakkan dalam jarak dua inci pada keadaan biasa dan tidak ada sebarang bunyi apabila memusingkannya.

Periksa penyelaras tempat duduk, kunci pintu, penaik cermin tingkap, hon, lampu, lampu isyarat, radio dan semua kelengkapan yang ada. Sesetengahnya mungkin tidak penting, tetapi ia mungkin dapat menunjukkan kepada anda bagaimana kereta itu dijaga.
? SELEPAS itu hidupkan enjin. Ia sepatutnya hidup dengan cepat dan kemudian beransur-ansur perlahan. Biarkan selama satu atau dua saat sebelum anda menekan pedal minyak. Lihat asap yang keluar di belakang. Asap biru bermakna enjin dioverhaul sepenuhnya. Jika asap hitam bermakna karburatornya tidak sesuai.

Asap putih tidak menandakan kecacatan apa-apa jika enjin dalam keadaan sejuk, tetapi jika enjin telah panas ini bermakna kepala gasket bocor. Ini memerlukan perbelanjaan yang besar. Oleh itu jangan beli kereta itu. Enjin yang kuat bergegar juga menunjukkan kereta itu tidak begitu baik untuk dibeli. Setelah enjin dipanaskan, matikan sekejap dan cuba anda sapu jari anda ke dalam ekzos (pastikan ekzos itu tidak panas). Keladaknya sepatutnya berwarna kelabu keputih-putihan. Jika ia berwarna hitam atau berminyak, ketepikan saja kereta itu.

Hidupkan enjin semula dan periksa minyak di dalam transmision automatik. Ia mestilah bersih tanpa ada bau terbakar.
? JURUJUAL mungkin cuba meyakinkan anda bahawa membuat uji pandu dalam jarak yang dekat seperti di sekitar sebuah bangunan sudah memadai. Ini tidak benar. Nyatakan kepadanya anda mahu membuat ujian jalan raya terhadap kereta itu. Jika jurujual itu tidak begitu berminat. Cari saja kereta di tempat lain.

Jalan yang anda rancang untuk dilalui mestilah termasuk jalan kering, jalan yang lengang, jalan berbukit, jalan tidak rata dan ruang letak kereta yang kosong. Semua meter pengukur mestilah berfungsi dengan baik terutama meter tekanan minyak dan suhu enjin. Jika tidak jangan beli kereta itu.

Pandulah ke jalan raya yang lengang dan tingkatkan kelajuan hingga 56 kmj, tranmision automatiknya mestilah bertukar tanpa sebarang bunyi atau tersentak-sentak. Jika kereta itu mempunyai sistem penukaran tangan, ia sepatutnya tidak melekat-lekat atau berkertak.

Perlahankan kereta itu hingga 10 kmj dengan mengenakan brek secara perlahan-lahan. Pastikan tidak ada sebarang bunyi. Kereta itu juga mestilah menjadi perlahan dalam keadaan lurus, tanpa terpusing ke kanan atau ke kiri.
? TINGKATKAN kelajuan hingga 25 - 30 kmj kemudian tekan brek secara mengejut (pastikan tiada kereta lain dibelakang anda). Kereta itu mestilah berhenti dengan cepat tanpa terpusing. Di dalam ruang letak kereta yang kosong dan rata, tekan brek hingga kereta itu betul-betul berhenti.

Tukar kepada gear undur dan undur pada kelajuan 6 kmj. Kemudian tekan brek hingga berhenti, tukar kepada gear depan dan seterusnya. Lakukan ini empat atau lima kali untuk menguji transmision. Semua penukaran mestilah lancar tanpa ada sebarang bunyi.

Pandu dalam corak nombor 8 untuk menguji tindak balas stering. Jika stering agak liat, ia mungkin berpunca daripada linkage atau sistem gantungan depan. Jangan beli kereta itu kecuali anda diberi jaminan bahawa masalah itu akan dibaiki.

Masih di dalam ruang letak kereta yang kosong. Tingkatkan kelajuan hingga kira-kira 30kmj dan lepaskan tangan dari stering selama beberapa saat. Kereta itu mestilah bergerak lurus dan tidak terbabas. Kemudian tekan brek perlahan-lahan tanpa memegang stering. Kereta itu juga mesti berhenti dalam keadaan lurus. Jika ia terpusing, nyatalah kereta ini ada masalah. Pastikan anda diberi jaminan bahawa masalah itu akan dibaiki.
? KEMUDIAN pandu kereta itu di jalan tidak rata yang anda pilih. Jangan beli kereta yang terlalu kuat bergegar atau melambung-lambung. Kereta itu mungkin mempunyai penyerap hentak spring atau bahagian-bahagian sistem gantungan yang rosak.

Ketika mendaki bukit. Tingkatkan kelajuan sehingga kira-kira 60 kmj. Kereta itu mestilah tidak tersangkut-sangkut. Jika hal ini berlaku, ini bermakna kereta itu mempunyai transmission yang rosak. Turun hingga ke pertengahan bukit, tukar kepada gear bebas dan pasang brek tangan. Kereta mestilah tetap apabila anda melepaskan kaki anda daripada pedal brek.

Setelah itu balik ke jalan raya biasa, hentikan kereta anda perhatikan ke belakang sebelum meneruskan perjalanan semula dan tingkatkan kelajuan hingga kira-kira 80kmj. Peningkatan kelajuan mestilah lancar dan pastikan tiada asap keluar di belakang dan tidak ada sebarang bunyi yang menunjukkan enjin tidak begitu baik. Jika pecutan (peningkatan kelajuan) mengambil masa lebih 15 saat, ini bermakna enjin tidak begitu baik dan mungkin memerlukan pembaikan dengan perbelanjaan yang mahal.
? KEMBALI semula ke ruang letak kereta. Setelah memasuki ruang letak kereta, biarkan enjin selama beberapa minit. Kemudian perhatikan ke bawah kereta sama ada terdapat titisan minyak atau tidak. Angkat penutup enjin dan periksa enjin sekali lagi untuk melihat sebarang kebocoran. Suruh jurujual memandu kereta tersebut melintasi ruang-ruang itu dan kemudian berpatah balik ke arah anda. Perhatikan sebarang keganjilan yang kelihatan pada kereta itu, sama ada bunyinya atau kawalannya.

Ada baiknya anda membawa kereta itu kepada seorang mekanik. Bawalah kereta itu ke stesen servis. Mekanik itu mungkin dapat meneliti beberapa kerosakan yang anda sendiri tidak nampak serta memastikan sama ada kerosakan yang anda kesan itu benar-benar serius atau tidak.

Mereka juga boleh membuat ujian tekanan terhadap enjin untuk memeriksa ring atau injap. Sebelum anda membuat pilihan periksa dulu geran kereta itu atau dokumen-dokumen lain. Nombor enjin dan lain-lain mestilah betul. Jangan sampai anda terbeli kereta curi.

Petikan daripada Berita Minggu
2 Oktober 2005

Read More..
Posted on 2:36 AM by peguamuda and filed under | 0 Comments »