Kedudukan Wanita Dalam Islam


Firman Allah S.W.T dalam Surah An-Nisa' ayat 34 yang bermaksud:

"Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu, maka wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri"..


Ayat di atas menerangkan mengenai kedudukan wanita di dalam Islam. Islam mengambil berat dan memandang tinggi terhadap wanita. Malah, Al-Quran sendiri menamakan salah satu dari surah-surahnya dalam Al-Quran dengan nama surah An-Nisa' yang membawa maksud wanita. Begitu juga terdapat di dalam kitab-kitab hadis yang membincangkan mengenai nasihat supaya berbuat baik terhadap wanita sebagaimana yang terdapat dalam kitab Riyadhussolihin karangan Imam An-Nawawi.

Sejarah merekodkan bahawa kemunculan Islam telah menghapuskan sama sekali amalan menghina dan membunuh wanita sebagaimana yang berlaku dalam masyarakat jahiliyyah. Hadis nabi juga menyebutkan mengenai ganjaran pahala bagi sesiapa uang diuji dalam memelihara anak perempuan bahawa orang itu akan bersama dengan nabi di akhirat kelak. Kesemuanya ini membuktikan pandangan Islam yang tinggi terhadap kaum wanita. Peraturan dan tuntutan yang digariskan oleh Islam ialah bertujuan untuk memelihara martabat dan keselamatan wanita.

Menyedari peranan wanita dalam pembinaan pembangunan umat Islam itu sangat penting, musuh-musuh Islam sejak dahulu lagi berusaha untuk merosakkan wanita dengan pelbagai cara dan strategi. Atas nama kebebasan, mereka berusaha meracuni pemikiran wanita Islam dengan pelbagai tipu daya dan godaan supaya mereka jauh dari landasan Islam yang sebenar. Sedangkan Islam meletakkan wanita dalam kedudukan yang tinggi dan mulia berbanding agama yang lain. Beberapa peraturan dan tuntutan yang berkaitan dengan wanita Islam adalah semata-mata untuk menjaga maruah dan kemuliaan mereka. Wanita mempunyai hak dan harus dilayan sesuai dengan fitrah dan kejadian mereka. Layanan istimewa ini bukan sahaja terhadap wanita Islam malah terhadap wanita bukan Islam.

Islam adalah sebuah agama yang memberi perhatian terhadap wanita sejak dari kecil sehingga memasuki alam rumahtangga, kewajipan dan tanggungjawab suami terhadap mereka sehinggalah hak mereka dalam mewarisi harta pusaka. Selain itu, terdapat beberapa peraturan dan tuntutan kepada wanita Islam untuk dipatuhi demi memelihara maruah, kemuliaan dan keselamatan diri mereka. Antaranya adalah seperti berikut:

1. Wanita Islam hendaklah memelihara pandangan, kemaluan dan tidak menampakkan perhiasan mereka melainkan yang diharuskan sahaja. Ini telah ditegaskan oleh firman Allah dalam surah An-Nur ayat 31 yang bermaksud:

"Katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang biasa nampak daripadanya".

Justeru, bapa atau pun suami hendaklah memastikan perkara seperti ini difahami dan dipatuhi oleh ahli keluarga kita yang perempuan.

2. Tempat yang paling baik bagi wanita adalah di rumah sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah Al-Ahzab ayat 33 yang bermaksud:

"Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyyah yang dahulu".

Namun, Islam sama sekali tidak menghalang wanita untuk bekerja mencari rezeki, memberi sumbangan tenaga dalam aktiviti kemasyarakatan, menjadi pemimpin dan seumpamanya selagi menjaga batasan dan sempadan yang ditetapkan oleh Islam. Islam juga melarang wanita berhias secara keterlaluan seperti amalan wanita zaman jahiliyyah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh An-Nasaei, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

"Mana-mana wanita yang memakai minyak wangi, kemudian lalu dihadapan satu kumpulan (manusia) untuk menarik perhatian mereka, maka dia boleh mendorong kepada perlakuan zina".

3. Islam meletakkan peraturan dan tuntutan tertentu bagi menjaga hubungan antara lelaki dan wanita. Antara peraturan yang ditetapkan oleh Islam adalah larangan berdua-duaan antara seorang lelaki dan wanita yang bukan mahram atau suami isteri sehingga boleh mengundang fitnah atau membawa kepada penzinaan. Sabda Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

"Tidak boleh seseorang lelaki dengan seorang wanita bersunyian melainkan dengan mahram".

4. Larangan musafir seorang wanita melainkan dengan mahram. Tuntutan ini juga bukan untuk mengongkong atau menyusahkan kehidupan wanita, tetapi dengan tujuan untuk menjaga dan memelihara mereka dari sebarang gangguan daripada pihak yang ingin mengambil kesempatan ke atas mereka dan menjauhkan mereka daripada terjerumus ke lembah kesesatan dan kemaksiatan.

Dari sudut hubungan kekeluargaan dan rumahtangga, Islam meletakkan beberapa tanggungjawab yang terletak dibahu para suami demi menjaga kemuliaan wanita, antaranya;

  1. berbuat baik terhadap wanita
  2. melarang mendera kaum wanita
  3. melayani wanita dengan cara yang terbaik

Oleh itu, marilah kita berusaha membetulkan kepincangan yang berlaku dalam masyarakat kita dengan kembali kepada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah. Sedarilah bahawa, wanita merupakan ujian paling besar bagi kaum lelaki. Justeru, kita dituntut menjaga, memelihara, dan menjauhkan mereka daripada sebarang perkara yang boleh merosakkan mereka. Ketinggian dan kemuliaan wanita yang digariskan oleh Islam terletak di tangan kita semua. Firman Allah dalam surah Ar-Ruum ayat 21 yang bermaksud:

"Dan diantara tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan dan rahmatNYa) bahawa Dia yang menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu hidup bahagia dengannya dan dijadikanNya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan kasihan belas. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir".

Wallahua'lam



Posted on 10:19 AM by peguamuda and filed under | 2 Comments »

2 comments:

Anonymous said... @ April 21, 2012 at 12:35 PM

Sering orang yang tidak paham ajaran Islam menganggap Islam merendahkan kaum wanita. Padahal itu tidak benar. Islam justru memuliakan kaum wanita.

Saat seorang lelaki bertanya kepada Nabi Muhammad, kepada siapa dia harus berbakti, Nabi Muhammad menjawab kepada ibunya. Pertanyaan yang sama diajukan 3x, jawaban tetap sama, yaitu: ibu. Baru pada pertanyaan ke 4 Nabi menjawab: kepada ayah.

Itu menandakan posisi seorang ibu (wanita) di atas seorang ayah (lelaki) di dalam Islam:

Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata:
Seseorang datang menghadap Rasulullah saw. dan bertanya: Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku pergauli dengan baik? Rasulullah saw. menjawab:
Ibumu. Dia bertanya lagi: Kemudian siapa? Rasulullah saw. menjawab: Kemudian ibumu. Dia bertanya lagi: Kemudian siapa? Rasulullah saw. menjawab: Kemudian
ibumu. Dia bertanya lagi: Kemudian siapa? Rasulullah saw. menjawab lagi: Kemudian ayahmu. (Shahih Muslim No.4621)
Baca selengkapnya di:
http://media-islam.or.id/2012/04/14/kedudukan-wanita-di-dalam-islam

Kwol Hafizi said... @ July 1, 2013 at 7:47 AM

Syukran :D byk input sy dapat.

Post a Comment