Pemergian Yang Pasti...
Semalam baru sahaja aku mendengar berita pemergian seorang pelajar Diploma Undang-Undang ke Rahmatullah dan aku terkejut dengan berita pemergiannya... aku dan sahabat-sahabatku baru sahaja menziarahi beliau beberapa jam sebelum beliau pergi menyambut seruan Ilahi...Semasa menziarahi beliau di hospital, Aku sayu melihat keadaannya terlantar di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) yang dipenuhi dengan wayar-wayar utk bantuan pernafasan...lebih sayu lagi bila melihat ibu bapa beliau yang sedang bersedih kerana puteri mereka sedang bertarung nyawa...Bayangkan, beliau telah kembali ke sisi Allah S.W.T dalam umur yang masih muda, yang mana muda-mudi yang sebaya dengannya sedang menikmati kehidupan muda mereka...Sesungguhnya, kematian tidak mengira umur sesiapa...muda atau tua...kematian itu sesuatu yang pasti sebagaimana Firman-Firman Allah di dalam kitabNya;
"Setiap yang bernyawa akan merasai mati"
(Ali-Imran: 185)
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya) "
(Al-Jumu'ah: 8)
"Supaya Allah mengampunkan bagi kamu sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan memberi kamu hidup (dengan tidak terkena azab) hingga ke suatu masa yang tertentu; (maka segeralah beribadat dan bertaqwa) kerana sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah, apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan; kalaulah kamu mengetahui (hakikat ini tentulah kamu segera beriman)"
(Nuh: 4)
Justeru aku berpesan kepada diriku dan juga kepada semuanya agar jangan kita leka dengan keasyikan dunia... Kita tidak mengetahui bila giliran kita akan pergi menghadapNya...
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan
anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya) . Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: "Wahai Tuhanku! Alangkah
baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh". Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam Pengetahuan- Nya mengenai segala yang kamu kerjakan.
(al-Munaafiquun: 9-11)
Perbanyakkanlah mengingati mati sebagaimana Sabda Rasulullah S.A.W;
"Perbanyakkanlah mengingat pemutus kenikmatan iaitu kematian"
(Hadis riwayat Imam Ibnu Majah)
dan perbanyakkan ibadah kepada Allah S.W.T sebagai bekalan untuk kita kelak...Sama-samalah kita renungi dan hayati...
1 comments:
aa la imam...cdey ngat2...xsgka kan...d bek ngat..imam p mlawat eh..
Post a Comment