Hakim Syarie Tak Terikat Mahkamah Lebih Tinggi

Dipetik daripada Artikel Oleh Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia


DI mahkamah sivil, doktrin duluan mengikat atau lebih terkenal di kalangan peguam sebagai stare decisis adalah suatu kaedah di mana prinsip keputusan sesebuah mahkamah yang lebih tinggi terpaksa diikuti oleh mahkamah bawahan tanpa mengambil kira keputusan betul atau sebaliknya. Doktrin ini bertujuan memastikan keseragaman keputusan mahkamah. Ia juga bagi menjamin mahkamah bawahan mengikuti keputusan mahkamah atasan.



Realitinya memang banyak kes di mana mahkamah bawahan tidak mengikuti prinsip ini secara harfiah dengan memberi pelbagai alasan termasuk membezakan kes mahkamah bawahan itu dengan kes diputuskan mahkamah yang lebih tinggi.

Sebagai seorang dilatih dalam bidang guaman sivil dan syariah, saya berasa terpanggil untuk memberi sedikit pandangan terhadap isu ini dan membuat perbandingan apa yang berlaku di mahkamah syariah untuk tatapan pembaca.

Prinsip stare decisis ini sebenarnya tidak terpakai di mahkamah syariah. Tiada doktrin duluan mengikat yang diamalkan di mahkamah syariah. Namun dalam membuat sebarang keputusan di mahkamah syariah, hakim mahkamah bawahan perlu menghormati prinsip kes diputuskan mahkamah yang lebih tinggi.

Tahap penghormatan ini pula tidaklah sampai mengikat mereka membuat keputusan. Penghakiman mahkamah yang lebih tinggi mempunyai nilai mempengaruhi keputusan mahkamah bawahan saja.

Prinsip asas di mahkamah syariah ialah apabila seseorang hakim itu berijtihad dan ijtihadnya itu betul, maka beliau akan mendapat dua pahala tetapi sekiranya ijtihadnya itu salah beliau masih mendapat pahala. Pahala ini adalah kerana usahanya membuat ijtihad dengan bersungguh. Jadi perkara yang paling penting ialah proses itu sendiri dan bukan hasilnya.

Dalam surat yang ditulis oleh Saidina Umar al Khattab kepada Kadi Kufah iaitu Abu Musa Al asyh'ari yang bermaksud, Dan sesiapa yang mendakwa sesuatu hak yang tidak ada di tempatnya, atau suatu bukti, berilah tempoh kepadanya sampai ia dapat membuktikan dakwaannya. Kemudian kalau dia dapat membuktikan dakwaannya maka berilah haknya itu tetapi kalau dia tidak mampu membuktikannya maka dia berhak dikalahkan kerana yang demikian itu lebih mantap bagi kegagalannya dan lebih menampakkan barang yang tersembunyi.

"Dan jangan sekali-kali menghalang-halangi kepadamu sesuatu keputusan yang telah engkau putuskan pada hari ini, kemudian engkau tinjau kembali lalu engkau memperoleh petunjuk agar engkau kembali kepada kebenaran kerana sesungguhnya kebenaran itu harus didahulukan, tidak dapat dibatalkan oleh apapun sedangkan kembali kepada kebenaran itu lebih baik dari terus berada dalam kebatilan."

Jelas maksud surat itu adalah sesuatu keputusan yang salah boleh dipinggirkan oleh hakim tanpa mengira tahap atau hirarki mahkamah itu sendiri kerana apa yang penting ialah memberi keadilan dalam sesuatu keputusan.

Di sini nampak matlamat kehakiman Islam hanyalah untuk menegakkan keadilan. Keadilan itu bukan hanya dilakukan tetapi hendaklah dilihat juga sebagai sudah dilakukan. Islam mengakui hakikat seorang hakim walau setinggi manapun kedudukannya mungkin akan tersilap dalam penghakimannya. Oleh itu, kepatuhan secara membuta tuli tidak perlu diberikan kepada hakim mahkamah atasan.

Prinsip digariskan dalam surat Saidina Umar ini dipakai mahkamah syariah sejak sekian lama memastikan penggunaannya Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) mengeluarkan arahan amalan diikuti oleh mahkamah syariah iaitu arahan amalan yang menyatakan mahkamah bawahan hendaklah menghormati keputusan mahkamah yang lebih tinggi.

Walaupun tahap pematuhan dikenakan kepada hakim mahkamah bawahan di mahkamah syariah hanya sekadar menghormati saja, kita tidak pernah mendengar mahkamah syariah bawahan menuding jari kepada pihak mahkamah atasan kerana silap. Hal yang sedemikian tidak berlaku di mahkamah sivil walaupun doktrin stare decisis terpakai kepada mereka.

Arahan amalan itu juga menjamin kreativiti kehakiman yang mana hakim mahkamah syariah tidak mengambil jalan mudah dalam menggarap keputusannya dengan hanya berkata beliau terikat dengan keputusan mahkamah yang lebih tinggi. Hakim mahkamah syariah perlu membuat penghakiman yang mana beliau yakin atas keputusannya dan bukan dihadkan oleh mana-mana keputusan lain.

Keputusan mahkamah yang lebih tinggi itu sekadar menjadi panduan dan pedoman kepada hakim mahkamah bawahan untuk membuat keputusan. Apatah lagi pada masa ini, kes di mahkamah syariah mula dilaporkan dengan cara lebih sistematik umpamanya dalam Jurnal Hukum, Syariah Law Report dan Laporan Syariah.

Dengan cara ini hakim mahkamah syariah dapat memperkayakan ilmu mereka dan membuat perbandingan kes dibicarakan di hadapan mereka. Tiada satu kes yang fakta dan persoalannya sama dengan kes lain. Dari sudut itu memang wajar ada sedikit perbezaan antara keputusan mahkamah itu.

Perbezaan itu perlu dilihat dari lensa positif. Ia membuka ruang kepada ijtihad dan mengelakkan ketidakadilan di samping menyesuaikan sesuatu penghakiman itu dengan fakta kes kesesuaian masa dan sebagainya.

Perbezaan pandangan sebenarnya bukanlah kelemahan di kalangan umat Islam. Ia adalah manifestasi keanjalan undang-undang Islam yang boleh disesuaikan mengikut masa dan tempat. Tiada salah kita berbeza pandangan tetapi perbezaan ini mestilah ditangani dengan cara yang penuh hikmah.

Dalam Islam ada adab yang digariskan apabila kita berbeza pandangan. Adab ini atau apa yang dipanggil sebagai adab al ikhtilaf mesti dihayati bagi mengelakkan kita terjerumus ke lembah perpecahan.

Di dalam sistem kehakiman, keadilan adalah elemen yang tidak boleh diketepikan. Namun pendekatan yang diambil dalam mencapai keadilan itu adalah berbeza antara satu sistem dengan sistem yang lain. Ternyata sistem yang ada dirumuskan dalam Islam adalah lebih baik, beradab dan praktikal di dalam mencari jalan penyelesaian ke arah menghadirkan keadilan kepada pihak yang bertikai.

Apatah lagi sistem yang diguna pakai di mahkamah syariah yang lebih bersifat 'inquisitorial' berbanding mahkamah sivil yang mengamalkan sistem 'adversarial'. Oleh itu hakim di mahkamah syariah perlu lebih memainkan peranan dalam prosiding mahkamah berbanding rakan mereka di mahkamah sivil.

Posted on 9:44 PM by peguamuda and filed under | 1 Comments »

1 comments:

res ipsa liquitor said... @ December 17, 2009 at 6:28 PM

nk jd hakim syarie la g2 gk..hehe

Post a Comment